[VIDEO] Jenazah Nur Alya Dikebumikan

JENAZAH Nur Alya Damia Hairi, 19, penuntut Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) yang maut dipercayai akibat dibunuh malam semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, di Klang, jam 6.50 petang.

Terdahulu, jenazah tiba di kediaman keluarganya di Kampung Idaman, selepas selesai proses bedah siasat di Bilik Mayat Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan.

Suasana pilu menyelubungi perkarangan rumah Allahyarham yang dipenuhi jiran tetangga, sanak saudara dan rakannya sebaik saja van jenazah tiba pada jam 4.50 petang.

Allahyarham Nur Alya Damia kemudiannya disembahyangkan di Masjid Al-Falah, Kampung Idaman sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Bapa Allahyarham, Hairi Jamil, 45, dilihat sugul dan menahan sebak ketika melihat jenazah anak sulungnya diturunkan ke dalam liang lahad.

Difahamkan, Nur Alya Damia sepatutnya pulang ke kediaman keluarganya pada hari ini selepas tamat kuliah di KVPD.

Portal berita NSTP hari ini melaporkan, penuntut tahun akhir Diploma Rangkaian Komputer KVPD itu ditemui mati dengan kesan jerutan di leher dipercayai dibunuh di dalam kereta oleh bekas kekasihnya sebelum dicampak di tepi jalan di Taman PD Permata, Port Dickson, jam 10.30 malam tadi.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang juga penuntut KVPD di rumah sewanya di Taman PD Idaman, Lukut, Negeri Sembilan.

 

[UPDATE] Suspek bunuh Nur Alya direman

Terdahulu, REMAJA lelaki yang disyaki membunuh penuntut perempuan Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) di Taman PD Permata, malam tadi direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, reman diperoleh di Mahkamah Majistret Port Dickson bermula hari ini sehingga Khamis depan.

Katanya, pihaknya setakat ini masih menjalankan siasatan terperinci membabitkan semua sudut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, suspek berusia 19 tahun itu yang juga bekas teman lelaki mangsa ditahan di rumah sewanya di Taman PD Idaman Idaman, Lukut selepas disyaki mencampak mayat mangsa, Nur Alya Damia Hairi, 19, di tepi jalan pada 10.45 malam.

“Hanya 15 minit mayat remaja ini ditemui, pihak polis berjaya mencekup suspek. Dia dibawa ke mahkamah pagi ini dan perintah reman selama tujuh hari diperoleh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Faisal berkata, pihaknya akan menjalankan soal siasat dan memanggil beberapa individu berkaitan untuk memberikan keterangan.

 

[UPDATE] ‘Kak Long sepatutnya balik petang ni’

“SEPATUTNYA petang ini dia balik ke Klang selepas habis kuliah. Tak sangka kami menjemputnya dalam keadaan macam ini,” kata Hairi Jamil, 45, bapa Nur Alya Damia, 19, pelajar Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) mangsa pembunuhan di Taman PD Permata, Port Dickson, malam tadi.

Hairi berkata, anaknya itu turut menghubunginya Rabu lalu minta carikan tempat latihan amali di Klang kerana Nur Alya tak mahu berjauhan dengan keluarga lagi.

Ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Port Dickson (HPD) pagi ini, Hairi berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu akan menamatkan pengajian Diploma Rangkaian Komputer tidak lama lagi.

“Dia kata mahu cari tempat latihan amali di Klang atau Shah Alam supaya dekat dengan keluarga. Lagi pun katanya, dia akan tamat belajar tidak lama lagi,” katanya.

Hairi berkata, dia sekeluarga pasti merindui Nur Alya yang mesra dengan panggilan Kak Long kerana arwah seorang anak yang baik dan periang.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu pada minggu lepas apabila arwah balik ke rumah di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika itu dan saya membenarkan dia membawa Proton Waja milik saya balik ke kolej. Dalam masa yang sama, dia boleh menghantar adiknya (Mohd Nabil, 16) ke Asrama Sekolah Menengah Teknik Seremban,” katanya.

Menurutnya, Nur Alya Damia tinggal menyewa rumah di Taman Selasih bersama tiga lagi rakan sekuliahnya yang terletak tidak jauh dari kolej.

Hairi berkata, dia dan isteri Hanayati Yaakob, 44, reda dengan ketentuan ini dan membawa jenazah pulang ke Pandamaran untuk dikebumikan selepas bedah siasat selesai dilakukan.

Sementara itu, tinjauan NSTP di bilik mayat HPD mendapati ramai ahli keluarga dan rakan kolej arwah menunggu untuk proses bedah siasat selesai sebelum dibawa pulang dan dikebumikan di Pandamaran dijangka selepas Asar petang ini.

Terdahulu, pada 10.30 malam tadi, mayat Nur Alya ditemui oleh orang awam di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, di sini yang kemudian memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Rakan serumahnya, Ain Zulaika Zamuri, 19, berkata, sebelum kejadian, Nur Alya Damia yang juga rakan sekuliahnya itu keluar pada 9 malam dan memaklumkan mahu bertemu teman lelakinya di kawasan berhampiran.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *