Tergantung Sepi Diramal Juara AJL, Ini Jawapan Haqiem Rusli..

Bahang Anugerah Juara Lagu ke-32 semakin terasa dan pelbagai ramalan muncul dalam kalangan netizen dan peminat lagu-lagu yang bertanding.

Tergantung Sepi milik penyanyi Haqiem Rusli antara karya yang dijangka bakal menggugat 11 buah lagu lain.

Bagi Haqiem, ramalan awal itu tidak memberikan tekanan malah menyuntik semangatnya untuk memberikan persembahan terbaik di pentas AJL 32 malam esok.

“Saya tidak target untuk menang apa-apa pun, saya sedar saya masih muda dan baru pertama kali masuk AJL.

“Berlawan pula dengan otai-otai misalnya Dayang Nurfaizah dan Hazama. Susah untuk menang sebenarnya.

“Namun, apabila ramai yang meletakkan ramalan lagu saya bakal jadi juara, ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk buat yang terbaik.

“Kalah atau menang bukan soalnya. Janji saya puaskan hati keluarga, peminat dan syarikat rakaman saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Selain Tergantung Sepi, tiga lagu lain yang diramalkan bakal bersaing untuk merebut gelaran AJL ialah Jampi (Hael Husaini), Sejati (Azmi Caliph Buskers) dan Akhirnya Cinta (Salma).

Bagi Haqiem, dia reda dan menerima keputusan pada malam esok dengan berlapang dada.

“Saya tidak risau, saya relaks, reda dan tawakkal. Semuanya sudah tertulis.

“Kalau saya kalah, kalahlah. Tak mengapa,” tambahnya.

Selain persediaan daripada susunan semula muzik dan persembahan pentas, Haqiem juga mahu persembahannya pada AJL lagi memberikan kefahaman tentang makna lagu Tergantung Sepi.

“Alhamdulillah, persediaan berjalan lancar dan perkara yang ingin saya tonjolkan sebenarnya makna lagu Tergantung Sepi kepada orang ramai,” katanya.

Bertemakan Fesyen dan Muzik, AJL 32 akan dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, malam esok menggandingkan Sherry Al Hadad dan Alif Satar sebagai pengacara.

AJL 32 mempertandingkan 12 lagu iaitu Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan Ajai dinyanyikan Dayang Nurfaizah, Sejati (Faizal Tahir/Mike Chan/Azmi Caliph Busker), Menahan Rindu (Ibnu & Gouffran/Wany Hasrita), Lebih Sempurna (Syamel) dan Aku Cinta (Syamel/Ernie Zakri).

Turut bersaing Warkah Untukmu (Hang Nadim/Laq/Ara Johari), Bayang (Alam Harry Khalifah/Patrick Anahonda/Khai Bahar), Jampi (Hael Husaini/Ezra Kong), Aku Yang Sebenar (M Nasir/Ad Samad/Hazama & The Penglipurlara), Amboi (Navigator/Altimet) dan Akhirnya Cinta (Ajai/Slen/Salma).

Sumber: gempak.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*