Surat kepada CIA: Ketua Organisasi Perisikan Luar Malaysia Datuk Hasanah dedah apa sebenarnya yang berlaku

 

 

KUALA LUMPUR: Agensi perisikan tempatan, Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) mempunyai lebih 1,000 anggota di seluruh dunia.

“Saya tidak diberikan kuasa untuk mengatakan berapa banyak ejen, pegawai dan operasi yang dikendalikan oleh agensi, tetapi saya boleh beritahu anda bahawa ada lebih 1,000 di seluruh dunia, dan adalah penting kebocoran seperti itu tidak sepatutnya berlaku,” kata Datuk Shaharudin Ali, peguam kepada mantan Ketua MEIO, Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Beliau berkata, Hasanah bimbang kepercayaan dan kredibiliti terhadap MEIO akan terjejas dengan pendedahan surat yang membabitkan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Sharudin menambah, Hasanah turut khuatir mengenai keselamatan dan semangat pegawai MEIO.

Hasanah dalam satu kenyataan bertulis memberitahu MEIO menggunakan nama rasmi Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri.

Bahagian itu merupakan sebahagian daripada agensi perisikan keselamatan negara dan ditubuhkan pada 1960-an.

Beliau turut memberitahu MEIO mempunyai sumber perisikan di seluruh dunia dan maklumat yang diperoleh itu dikumpulkan, dianalisis dan dilaporkan kepada Perdana Menteri dan Kabinet, Cawangan Khas, dan perisikan ketenteraan dan lain-lain.

“MEIO telah memberi banyak sumbangan kepada keselamatan negara. Ia termasuk menangani ancaman komunis, konfrontasi dengan Indonesia, konflik serantau dan yang terbaru adalah ancaman Daesh,” kata Hasanah dalam kenyataannya.

sumber: mstar

Hasanah buat laporan polis dakwaan hantar surat kepada CIA

Hasanah (gambar kiri) akan membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau mengirim sepucuk surat kep

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid akan membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau mengirim sepucuk surat kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi peguam beliau, Datuk Shaharudin Ali hari ini, Hasanah berkata beliau dinasihati oleh peguamnya untuk membuat laporan polis.

Hasanah berkata beliau juga akan mengadakan sidang akhbar untuk memperjelaskan keadaan sebenar.

Dalam surat yang didakwa itu bertarikh 4 Mei tahun ini dan dialamatkan kepada Pengarah CIA Gina Haspel, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak digambarkan sebagai rakan kepada Amerika Syarikat.

Dalam surat itu juga, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pula disifatkan sebagai “anti-Barat dan anti-Yahudi”.

Surat berkenaan, didakwa ditulis kira-kira seminggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, mengucapkan tahniah atas pelantikan Haspel untuk menerajui CIA dan merayu Amerika supaya menyokong pentadbiran Najib “sungguhpun jika Barisan Nasional memenangi pilihan raya itu dengan majoriti mudah atau hanya dengan kelebihan satu kerusi.” – Bernama

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*