‘Saya takkan berbaju lokap jika keluar UMNO lebih awal’ – Azeez

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyifatkan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai harga perlu dibayar untuk sebuah perjuangan.

Menurut Abdul Azeez, beliau tidak akan meninggalkan perjuangan Umno walaupun diuji pelbagai dugaan.

“Jika saya telah keluar dari Umno minggu lepas, anda tidak akan lihat saya begini (berbaju lokap SPRM dan bergari) hari ini. Namun, apa pun dugaan, rintangan atau ugutan yang datang, hatta ke penjara sekalipun saya tetap tidak akan meninggalkan perjuangan parti keramat UMNO ini,” katanya dalam status yang dimuat naik pentadbir akaun Facebook miliknya, hari ini.

Abdul Azeez, abang serta sepupunya direman empat hari sejak semalam (Rabu) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kontrak projek Tabung Haji.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan SPRM.

Bekas Pengerusi Tabung Haji itu dan abangnya yang merupakan pengurus besar sebuah syarikat dipercayai menerima rasuah daripada syarikat kontraktor.

Azeez Rahim dan abang ditahan SPRM, Riza Aziz dirakam keterangan semula

KUALA LUMPUR: Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Selasa.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling dan juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) ditahan kira-kira pukul 11 pagi selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Manakala, abangnya, Abdul Latif pula ditahan di Sungai Buloh, Selangor pada pukul 11.30 pagi.

Sumber berkata, kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Kata sumber, penahanan itu bagi membantu siasatan  Seksyen 16 Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Sementara itu, sumber memberitahu anak tiri kepada bekas perdana menteri, Riza Aziz turut dipanggil ke pejabat SPRM bagi dirakam keterangan semula.

“Bagaimanapun SPRM tidak menahan Riza Aziz,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *