Raja Bomoh Pun Kunjungi Rumah Najib

UNIK… Sejurus konvoi Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di rumahnya di Taman Duta dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raja Bomoh pula dilihat muncul.

Menaiki kereta mewah Jaguar berwarna hitam dengan perkataan ‘Raja Bomoh’ pada plat kenderaannya itu lewat petang semalam, Ibrahim Mat Zin kemudian dilihat petugas media keluar dari tempat duduk penumpang.

Dia yang memakai baju hitam dan bersongkok, berdiri di luar kenderaan mewahnya selama kira-kira lima minit apabila pemberita yang berkhemah di luar rumah Najib bergegas untuk mendapatkan komennya.

Ibrahim bagaimanapun berkata dia hanya datang untuk melihat sendiri situasi di sekitar Taman Duta yang terletak di pinggir ibu negara dan kini menjadi tumpuan ramai selepas Najib berundur sebagai perdana menteri.

“Datang nak ziarah je. Nak tengok sejarah. Tak, tak payahlah saya masuk ke sana,” katanya yang juga pernah mahu bertanding sebagai calon bebas kerusi Parlimen Bagan Datuk di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Ketika ditanya pemberita, dia hanya berkata: “Semoga semua baik-baik sahaja. Kita terus berdoa,” sebelum Ibrahim masuk semula ke keretanya dan beredar dari lokasi. Dia bagaimanapun tidak melakukan apa-apa ritual.

Najib kembali dari ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas hadir untuk memberi keterangannya buat kali kedua berhubung penyiasatan kes SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nama Ibrahim pertama kali menjadi tajuk berita pada Mac 2014 apabila mengadakan dua ritual unik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dalam usaha mencari pesawat MH370 yang hilang misteri.

Dia juga pernah tampil melakukan ritual pelik di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur selepas kecoh pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam pada tahun lalu.

Namun dia kemudian ditahan pihak berkuasa agama kerana didakwa menghina ajaran Islam dan kemudian dilaporkan bertaubat daripada perbuatan tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Kredit: Mynewshub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *