Penuntut kita m4ut di Sydney

SEORANG penuntut Malaysia meninggal dunia dipercayai terjatuh dari pangsapuri didiaminya di Sydney, Australia, hari ini.

Mangsa, Amirul Ashraff Md Azhar, 22, berasal dari Taiping, Perak adalah penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di Universti Technology Of Sydney.

Bapanya, Md Azhar Hasbullah, 48, berkata, dia dihubungi pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Australia pada 4 petang hari ini.

“Setakat ini saya dimaklumkan anak saya terjatuh dari pangsapuri didiaminya yang terletak kira-kira lima kilometer dari universiti berkenaan.

“Sehingga kini saya menunggu maklumat lanjut dari MARA berikutan dia adalah pelajar tajaan MARA,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Azhar berkata, sebelum ini anaknya ada menghubunginya memberitahu dia gagal lima subjek dan perlu membuat rayuan kepada MARA.

“Dia sudah membuat rayuan kepada MARA, namun saya merasakan dia tertekan. Apapun, saya kini sedang menunggu maklumat lanjut daripada pegawai di sana.

“Dia (Amirul Ashraff) tidak menceritakan masalah lain selain gagal lima subjek berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia menghubungi anaknya itu adalah pada 30 Julai lalu ketika sambutan ulang tahun kelahiran anaknya.

“Dia baru seminggu menyambut ulang tahun kelahiran. Saya kini menunggu perkembangan daripada pegawai MARA di sana.

“Jenazah akan dikebumikan di Taiping selepas selesai semua urusan nanti,” katanya.

UPDATE: Amirul Ashraff disahkan tergelincir dari bangunan

KEMATIAN seorang penuntut Malaysia, Amirul Ashraff Md Azhar, 22, di Sydney, Australia adalah disebabkan tergelincir dari bangunan.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam satu kenyataan berkata, maklumat diperoleh daripada pihak berwajib di Australia mengklasifikasikan kes kematian adalah akibat tergelincir dari bangunan.

“Pegawai MARA Luar Negara di Australia bergegas ke tempat kejadian sejurus kejadian itu dilaporkan untuk tindakan pengecaman.

“MARA mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Ashraff, pelajar tajaan MARA yang meninggal dunia di kediamannya di Sydney,Australia,” katanya.

Menurutnya, MARA dengan bantuan kedutaan akan berusaha memastikan urusan membawa pulang jenazah dapat dilakukan secepat mungkin selepas proses bedah siasat dijalankan.

“MARA akan mengurus segala urusan membawa pulang jenazah Allahyarham Amirul Ashraff sehinggalah diserahkan kepada keluarga jenazah bagi urusan pengebumian.

“Allahyarham Amirul Ashraff adalah pelajar tahun akhir di University of Technology Sydney dalam bidang Ijazah Kejuruteraan Mekatronik yang juga bekas pelajar MRSM Langkawi,” katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro hari ini melaporkan seorang penuntut Malaysia meninggal dunia di Sydney, Australia dipercayai terjatuh dari pangsapuri didiaminya.

Amirul Ashraff yang berasal dari Taiping, Perak adalah pelajar tajaan MARA.

Bapanya, Md Azhar Hasbullah, 48, dilaporkan berkata, dia dihubungi pegawai MARA di Australia pada 4 petang hari ini.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *