Penerima anugerah pakai tongkat, Agong turun anak tangga pakaikan pingat

Tindakan spontan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menuruni anak tangga singgahsana bagi mengurniakan darjah kebesaran membuatkan Datuk Dr Abd Latif Mohmod berasa terharu dan dihargai.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu berkata, beliau tidak menduga Seri Paduka akan bertindak sedemikian selepas melihat beliau yang bertongkat akibat kecederaan 10 tahun dahulu ketika bertugas.

“Saya rasa terharu. Mungkin Yang di-Pertuan Agong rasa saya susah untuk naik sebab berjalan pakai tongkat.

“Sebenarnya saya terperanjat. Tuanku beri signal jangan naik (anak tangga singgahsana) dan bertitah “Tidak apa saya turun”,” katanya.

Menurut Abd Latif, baginda juga sempat bertanya keadaan dirinya:

“Dah lama ke sakit, boleh berjalan ke?”

Menjawab pertanyaan Seri Paduka, Abd Latif memberitahu beliau boleh tetapi tidak boleh berdiri lama kerana pernah jatuh dulu sewaktu bekerja.


Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Abd Latif yang akan bersara pada tahun depan dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Sumber : Bernama , Twitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *