“Niat & nawaitu nak cari jalan penyelesaian”- Sharnaaz Tak Nak Lafaz Cerai Pada Noor Nabila

PELAKON Sharnaaz Ahmad dan isterinya, Noor Nabila Mohd Noor diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian mereka.

Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail memerintahkan Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 34, dan Noor Nabila, 34, berbuat demikian selepas bintang filem Juvana itu tidak bersetuju dengan tuntutan cerai kakak pengacara dan pelakon Neelofa itu.

Noor Nabila selaku plaintif memfailkan permohonan cerai secara baik pada 27 Ogos lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Dalam proses perceraian, JKP membabitkan anggota keluarga yang rapat dengan pasangan itu, bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya tak boleh nak beri keterangan yang lebih sebab saya belum mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh mahkamah. 

“Niat dan nawaitu kita adalah untuk menjadi pendamaian yang sihat. Jalan penyelesaian yang terbaik untuk both parties.”

Terdahulu dalam prosiding itu, Sharnaaz yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader ketika ditanya hakim adakah sudah melihat tuntutan yang diterimanya daripada Noor Nabila pada 29 Ogos lalu, menjawab ” Ya” namun tidak bersetuju dengan tuntutan cerai berkenaan.

Salah seorang wartawan di situ juga menanyakan soalan mengatakan yang pihak Nabila terkejut bila Sharnaaz menolak padahal di media sosial Sharnaaz mengatakan yang dia redha sekiranya berlaku penceraian antara mereka.

Redha ke atau pun tak redha ke, kita ada mahkamah dan badan berkanun yang kita perlu hadap.”

“So kalau mahkamah dah bagi order untuk ke jawatankuasa pendamaian, maknanya kita kena ikut prosedur tu.

Bila saya kata tak setuju maknanya kita akan cuba untuk perelokkan sebaik mungkin. Kenapa kita kahwin elok-elok lepastu bercerai nak gaduh-gaduh.”

Selain tiada persefahaman dan tinggal berasingan sejak Februari 2018, Noor Nabila dalam tuntutan perceraiannya memberikan alasan bahawa Sharnaaz memberi nafkah zahir yang tidak mencukupi iaitu hanya RM500 sebulan walaupun mampu untuk memberi lebih daripada itu.

Noor Nabila dalam tuntutannya juga memberitahu, langkah sudah diambil untuk mencapai perdamaian termasuk sudah berbincang namun tidak menemui jalan penyelesaian dan defendan berterusan dengan sikapnya.

Selain itu, terdapat perbincangan melalui keluarga namun tidak berjaya.

Peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Noor Nabila kemudian memohon supaya Sharnaaz selaku defendan mengemukakan alasan (tidak bersetuju) kerana mendakwa di dalam media sosialnya defendan menyatakan sebaliknya.

Bagaimanapun Ahmad Muttaqi berkata defendan tidak perlu berbuat demikian (beri alasan) kerana mahkamah sudah bertanyakan hal itu kepada Sharnaaz pada prosiding itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 September ini untuk kedua-dua pihak melantik wakil JKP mereka.

Sharnaaz hadir ke mahkamah dengan memakai kot dan berseluar hitam serta bersongkok manakala Noor Nabila mengenakan jubah hitam dan berselendang hitam.

Kisah rumah tangga pasangan terbabit kembali menjadi perhatian pada 29 Ogos lalu apabila sebuah portal menyiarkan artikel kononnya Noor Nabila memfailkan perceraian terhadap Sharnaaz selepas berkongsi foto dipercayai Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Instagram Story, baru-baru ini.

Noor Nabila juga didakwa memuat naik status yang dikatakan menguatkan lagi spekulasi dirinya berdepan masalah rumah tangga.

Sharnaaz dan Noor Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia setahun.

Sumber: Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *