Mereka isteri yg terima kita saat kita bukan siapa2, tiada harta, tiada nama.. – Imam Muda Asyraf nasihat suami hargailah isteri

Teringat sewaktu saya mula berkahwin dulu. Masih belajar di UM, tiada pekerjaan tetap. Apa pun, terima kasih kepada mentua yang sudi menerima insan yang serba dhaif ini menjadi menantu. Walaupun ketika itu mereka tahu saya tidak mempunyai sumber kewangan yang utuh.

Saya buat part time sebagai imam rawatib di masjid sebab nak sara anak orang sebagai isteri. Dengan gaji RM350 sebulan di Kuala Lumpur, apalah sangat yang mampu dinikmati. Sedangkan sewa rumah ketika itu RM450 sebulan. Terpaksa berniaga cari duit tambahan jual kitab, buat home tuition. Basah kuyup bersama isteri menaiki motosikal EX5, Menunggu bas di Pudu bersama untuk pulang ke kampung.

Apa yang saya kagum dan saya akan ingat selamanya ialah pesanan dari seorang isteri.

 

“Abang, Ayang tak minta abang bawa balik kemewahan. Tapi cukuplah dengan bawa pulang kepada keluarga rezeki yang barakah.”

 

Beliau langsung tak pernah minta wang untuk beli pakaian melainkan apa yang saya belikan. Beg tangan dan kasut seadanya. Kadang terusik di dalam hati seorang suami untuk membeli sesuatu untuk menggembirakan isteri. Tapi si suami tidak mampu.

Rumah flat yang tiada katilnya beralas toto. Lantai simen tanpa tikar getah. Tiada meja makan. Kotak sebagai alas pinggan. Almari zip yang terkoyak di sisinya. Tapi saat itulah saat yang paling bahagia. Detik itulah yang paling sakinah. Payah namun indah. Rumah sempit namun hati lapang.

Perit dahulu menekan keangkuhan. Sakit dahulu mengingatkan kesombongan. Semua yang kita dapat sekarang adalah pemberian Tuhan. Dia beri pinjam hari ini, maka tak sukar untuk Dia ambil semula esok hari. Beringat wahai si tuan badan.

Image result for imam muda asyraf

 

Saya kongsikan kisah ini bukan untuk khabarkan sejarah diri semata. Kerana saya tahu rasa saya ini pernah juga dirasai kebanyakan pasangan. Saya tidak berseorang dalam merasai pengalaman ini. Ramai yan turut melaluinya. Bersyukurlah apa yang ada, sebelum menangis bila dah tiada.

Mereka yang menerima kita saat kita bukan siapa-siapa. Mereka terima kita saat kita tiada apa-apa. Mereka di sisi saat tiada siapa mengenali. Mereka bangga dengan kita walau kita tiada nama. Mereka sudi di sisi kita walau kita tidak berharta.

Semoga Allah mengabadikan bahagia ini hingga ke syurga.

 

Ulasan… ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah bahawa Dia menjadikan bagi diri kamu pasangan supaya kamu dapat hidup harmoni di sampingnya dan Allah menjadikan dengan sebabnya kasih sayang dan rahmat sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Hari ini kadar perceraian dalam kalangan pasangan berkahwin di Malaysia begitu tinggi.

Alam perkahwinan amat berbeza dengan alam percintaan. Ketika bercinta, semuanya penuh perkara indah belaka.

Ketika bercinta juga, hampir semua perkara mengenai si dia baik belaka.

Hanya selepas bernikah, baru nampak ‘wajah’ sebenar pasangan masing-masing. Suami zaman ini ramai yang kurang dan tidak menghargai isteri.

Setengahnya menggunakan hujah agama untuk menundukkan isteri. Dipetik nas agama dan ditafsirkan menurut kemahuan sendiri. Disuruh isteri melakukan segala kerja rumah sedangkan suami bergoyang kaki sambil menghadap telefon.

Menjadi rutin isteri sejak awal pagi lagi sudah bangun untuk menyediakan sarapan. Selepas itu, dia pergi menghantar anak sekolah sebelum pergi kerja.

Di tempat kerja, isteri terpaksa pula menghadap pelbagai ragam daripada majikan dan rakan sekerja. Setibanya di rumah, tugasan belum berakhir. Kerja rumah menanti seperti memasak, mengangkat dan melipat pakaian.

Pakaian kotor untuk hari berkenaan juga perlu dibasuh. Selanjutnya, juadah makan malam tetap perlu disediakan dan prosesnya bukan sekejap.

Jika masak lebih kurang, anak dan suami akan merungut. Selepas solat Maghrib, dia perlu disiplinkan anak mengaji al-Quran dan selepas itu membantu menyiapkan kerja rumah anak-anak.

Pada tengah malam, apabila anak kecil menangis dan meragam, maka tidak tidur si isteri hampir sepanjang malam. Kepada suami, isteri kita tidak mengharapkan intan atau permata, bahkan kebanyakan para isteri pada zaman ini mempunyai sumber kewangan sendiri.

Apa yang mereka harapkan adalah penghargaan dan sokongan suami. Apabila isteri memasak, sekurang-kurangnya temankan dia di dapur sambil boleh bantu memotong daging dan sayur.

Hakikatnya, berlaku dalam masyarakat kita sesetengah lelaki yang berjaya dalam kerjaya mudah beralih arah mencari wanita lain. Segala perkara mengenai isteri menjadi buruk belaka manakala yang elok hanya cinta barunya.

Banyak juga kes berlaku apabila dalam kesusahan seperti lelaki ditimpa penykit, isteri muda akan meninggalkan suaminya. Maka, pulang semula suami ke pangkuan isteri pertama.

Ingatlah, jika hendak berlaku cvrang kenang kembali siapa yang bersama ketika kita belum berpangkat dan berduit seperti sekarang.

Hargai isteri ketika kasih sayangnya masih kuat kepada kita. Usah pada satu masa, cinta dan kasihnya kian pudar dan ketika itu pujuk rayu kita padanya tidak lagi bermakna.

Dalam firman yang bermaksud: “Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu daripada isteri-isteri kamu itu anak-anak dan cucu-cucu dan memberikan rezeki daripada yang baik-baik.” (Surah an-Nahl, ayat 72)

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih 🙂

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Go go Tular

Sumber: Imam Muda Asyraf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *