Maut tercampak keluar kereta

LELAKI maut, manakala dua sahabatnya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 58, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, dekat Rantau Abang, hari ini.

Dalam kemalangan 12.10 tengah hari tadi, Muhammad Shukri Mohd Ariffen, 23, dari Kampung Aur Cendering, Kuala Terengganu, disahkan meninggal selepas kira-kira sejam dirawat di Hospital Dungun.

Mangsa yang tercampak keluar daripada kenderaan parah di kepala, patah tengkuk dan kecederaan dalaman badan dan dikejarkan ke Hospital Dungun dengan ambulans.

Dua sahabat mangsa, Muhammad Syazwan Aziz, 22, yang memandu kereta terbabit dan Mohammad Rifaie Mohd Zaman, 21, dilaporkan cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, untuk menerima rawatan.

Ketika kejadian, ketiga-tiga sahabat baik itu yang tinggal di Chendering, Kuala Terengganu dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu untuk ke Kerteh, Kemaman.

Setibanya di tempat kejadian, kereta Honda Civic dipandu Mohammad Syazwan dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan dan tiang elektrik di situ, menyebabkan kereta berkenaan terbalik beberapa kali.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Abdul Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menjelaskan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Sumber: Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*