“Lu jangan peduli, Mr Keri”

Dilihat sekali lagi menongkah arus perdana dalam partinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar – dan kali ini disertai Datuk Seri Anifah Aman – tetap mendapat pujian atas keberanian mereka kekal dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Kata bekas pengarang kumpulan New Straits Times (NST) Mustapha Kamil Mohd Janor kedua-dua bekas menteri BN itu tidak perlu mengendahkan kemarahan yang ditujukan kepada mereka.

Malah katanya dia sendiri faham Khairy dan Anifah memang tidak senang dengan bekas presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak.

Menjelaskan kenyataan itu Mustapha Kamil mendakwa ketika dia masih bertugas di NST, Anifah pernah merungut kerana sukar menjawab isu 1MDB apabila isu itu ditanyakan orang ramai.

Justeru Mustapha Kamil menasihati Khairy supaya tidak gentar atau mengendur daripada sikap yang diambilnya sekarang.

Lu jangan peduli Mr Keri. Dia sapa nak warning-warning lu? Zahid presiden pun tak cakap banyak… Mat Bugis lak nak tambah-tambah kuah,” katanya merujuk kepada dua tokoh kanan dalam Umno ketika ini, iaitu presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Najib sendiri.

Untuk rekod Ahmad Zahid dilantik majoriti bahagian Umno di seluruh negara mengetuai parti terbabit dalam pemilihan akhir bulan lalu.

Tergeheh-hegeh di situ

Najib pula sudah meletakkan semua jawatannya dalam parti di peringkat pusat, namun masih kekal sebagai ketua Umno Pekan, serta penyandang kerusi parlimen itu.

Semalam semua anggota parlimen (MP) BN – disertai PAS juga – meninggalkan Dewan Rakyat kerana membantah pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker.

Mereka menegaskan langkah itu bukan bermakna mereka tidak bersetuju Mohamad Ariff dilantik sebaliknya cara proses itu dijalankan.

Bagaimanapun Khairy dan Anifah kekal di tempat masing-masing. Khairy kemudian menjelaskan langkah meninggalkan sidang bukanlah cara yang betul untuk menyatakan bantahan.

Anifah pula berkata beliau berpendapat bantahan sudah disuarakan namun tidak perluuntuk MP meninggalkan tempat masing-masing.

Najib – yang sebelum ini pernah mengisyaratkan dirinya sebagai pendekar Bugis – dilaporkan meminta Khairy serta Anifah membuat penjelasan mengenai tindakan mereka enggan keluar dari dewan bersama-sama.

Kata Mustapha Kamil, Khairy dan Anifah tidak perlu bimbang dan jika keadaan memerlukan mereka boleh meninggalkan Umnno.

“Sebab selagi Mat Bugis tu ada terhegeh-hegeh kat situ, parti tu lebih kurang parti Tupperware je,” katanya bersahaja.

Parti Tupperware merujuk kepada amalan sesetengah orang – terutama wanita – berkumpul beramai-ramai untuk urusan jual beli barangan dengan label Tupperware.

‘Tiada tindakan pada KJ kerana Umno amal dasar terbuka’

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata tiada tindakan akan dikenakan ke atas bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tidak menyertai anggota parlimen BN dan PAS keluar dari Dewan Rakyat.

Ini kerana, kata Annuar yang dipetik portal Umno Online, parti itu mengamalkan “dasar terbuka”.

Anggota parlimen Ketereh itu menambah, Khairy tidak keluar dewan kerana tidak menghadiri mesyuarat parti itu 15 Julai lalu yang memutuskan reaksi tertentu berhubung isu speaker Dewan Rakyat.

“Kami hormat pandangannya yang merupakan pandangan peribadinya. Pandangan kami berdasarkan konsensus dan membabitkan semua parti komponen (BN),” katanya dipetik sebagai berkata.

Semalam, kekecohan berlaku tidak lama selepas anggota parlimen mengambil tempat duduk masing-masing untuk memulakan prosiding parlimen penggal ke-14.

Kekecohan itu terjadi ketika Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pelantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai speaker.

Anggota parlimen pembangkang mempertikaikan pelantikan itu sebagai tidak mengikut peraturan Dewan Rakyat yang menetapkan agar nama Mohamad Ariff diserahkan 14 hari sebelum parlimen bersidang, iaitu sekurang-kurangnya pada 2 Julai.

Bagaimanapun, terdapat percanggahan kenyataan di kalangan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) berhubung tarikh penyerahan nama bekas ketua hakim Mahkamah Rayuan itu.

Anggota parlimen BN dan PAS kemudian melangkah keluar dewan sebagai bantahan. Hanya Khairy dan Anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman yang kekal di kerusi.

Ketika bercakap kepada pemberita berhubung pertikaian tarikh penyerahan nama calon speaker, Dr Mahathir menegaskan pihaknya menghantar nama Mohamad Ariff pada 2 Julai.

Sementara itu, mengulas tindakan keluar dewan, Annuar menafikan ia sebagai memboikot prosiding parlimen.

Sebaliknya, kata Annuar, mereka sekadar keluar dari Dewan Rakyat untuk bercakap kepada media berhubung pelantikan Mohamad Ariff.

“Kami hanya keluar untuk bercakap kepada media,” katanya dipetik sebagai berkata.

Kredit: Malaysiakini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*