(King Durian) FAMA – Kempen boikot durian tak akan turunkan harga

Harga durian yang melambung tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan keluhan di kalangan pengguna, sehingga ada netizen menjalankan kempen memboikot durian timbang di media sosial.

Bagaimanapun Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata, usaha itu tidak akan dapat menurunkan harga durian memandangkan permintaan dalam dan luar negara yang tinggi.

Katanya, disebabkan permintaan yang semakin meningkat dari luar negara seperti China dan Singapura, bekalan buah durian di pasaran tempatan kini semakin terhad.

“Tidak (turun harga kerana boikot) kerana faktor permintaan yang semakin meningkat di dalam dan khususnya di luar negara seperti Singapura, China dan Hong Kong dan pengeluaran dan penawaran durian yang terhad di pasaran.

“Penentuan harga durian ditentukan oleh kuasa pasaran pada satu jangka masa,” katanya kepada Malaysiakini menerusi wawancara atas talian.

Sebelum ini ada netizen melancarkan kempen memboikot membeli durian timbang selama dua bulan iaitu pada September dan Oktober kerana harga yang terlalu mahal.

Kempen itu berjaya menarik minat lebih 1,800 penggemar durian tanah air.

Faktor cuaca, musim

Selain bekalan yang kurang, Ahmad berkata harga durian kini terlalu tinggi disebabkan faktor cuaca serta berbuah di luar musim.

“Faktor cuaca di Malaysia juga memainkan peranan kepada kekurangan stok dan kenaikan harga durian. Keadaan cuaca yang buruk telah memberi kesan kepada hasil pengeluaran,” katanya.

 

Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis durian seperti Musang King (atau nama lebih khususnya D197), Bukit Merah (D24), IOI (D168), Udang Merah atau Ang Aae (D175) dan Ochi atau Duri Hitam (D200).

Selain China, durian sejuk beku juga berjaya menembusi pasaran Australia, New Zealand dan Taiwan.

Malaysia juga mendapat laluan pasaran ke Jepun dan Korea.

Jumlah eksport ke China dijangka meningkat kerana durian bukan setakat dimakan segar tetapi dipelbagaikan bagi memenuhi kehendak penggemar di sana.

Menstabilkan harga

Sementara itu, Ahmad berkata dalam usaha menstabilkan harga durian, FAMA menjalankan pelbagai program mengenai potensi pemasaran durian terutamanya durian klon 197 Musang King.

“Semakin ramai petani yang mengusahakan tanaman durian, isu harga yang terlalu tinggi dan bekalan yang tidak mencukupi akan dapat diatasi,” katanya.

 

Malah Ahmad turut berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyenaraikan durian terutamanya jenis Musang King sebagai salah satu sumber kekayaan baru negara dan perlu diterokai petani kerana potensinya yang tinggi.

Tambahnya, kerajaan belum mempunyai sebarang rancangan untuk mengawal harga durian tempatan dan pengguna juga masih mempunyai pilihan untuk menikmati durian tempatan pada harga yang berpatutan seperti durian kampung dan jenis klon terpilih seperti D24 dan IOI.

Sumber: www.malaysiakini.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*