Ketuanan Melayu: ‘Perlahan-lahan kita hunus keris ke hati sendiri’ – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menganggap kalimah ‘Ketuanan Melayu’ di bumi Malaysia ini tidak lebih dari sekadar frasa kosong semata-mata.

Dalam catatan terbaharu di Facebook rasminya hari ini, Ahli Parlimen Muar itu berkata, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan ungkapan itu, kerana kaum Melayu dilihat lebih gemar mengambil jalan yang mudah dan pintas dan tidak berani keluar dari zon selesa.

“Memang indah untuk kita dibuai mimpi “Ketuanan”, tetapi realitinya ternyata berbeza. Memang popular apabila kita laungkan “Hidup Melayu”, tetapi laungan itu kosong apabila berpijak di bumi yang nyata. Sambil kita menjulang keris dengan bangganya, perlahan-lahan kita sedang menghunusnya ke hati kita sendiri tanpa kita sedari,” katanya lagi.

Namun, Menteri Belia dan Sukan itu berkata lanjut, ia tidak akan sesekali mematahkan semangat beliau untuk terus memperjuangkan nasib kaum itu di negara ini.

“Saya nak pastikan generasi masa hadapan dapat menikmati pembangunan negara secara adil dan saksama. Bukan setakat retorik bahasa atau omong kosong tidak bermakna. Saya nak pastikan kualiti hidup mereka jauh lebih baik daripada kita pada hari ini.

“Nasib kita di tangan kita sendiri. Tak perlu untuk ungkit “ketuanan” melalui slogan dan syarahan. Kita “tuan” kalau berani berubah, berani menghadap risiko, menjalankan kerja dengan amanah dan sentiasa menguasai semua ilmu sampai tidak perlu bergantung kepada sesiapa pun lagi,” katanya lagi.

Ketuanan Melayu: Pandangan Syed Saddiq disalah tafsir – Muhyiddin

MUAR – Pandangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai ketuanan Melayu sudah berakhir disalah tafsir seolah-olah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. berkata, sebaliknya parti berkenaan sendiri wujud atas dasar memperjuangkan nasib orang Melayu selaras dengan perkara-perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Meskipun memperjuangkan nasib Melayu, negara kita ini juga ada kaum bukan Melayu yang turut memerlukan sokongan daripada kita supaya mereka juga boleh bersama-sama berkongsi kekayaan ada di negara ini.

“Kita kena faham dalam senario dan situasi zaman kini, zaman selepas kita menang pilihan raya dan membentuk kerajaan dengan harapan baharu, di situlah kita berjanji bahawa kita akan berlaku adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia tidak kira apa jua kaum dan keturunan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian ketika sesi soal jawab pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PPBM Bahagian Pagoh Kali Pertama 2018 di Pagoh, di sini, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda PPBM dilaporkan berkata, zaman ketuanan Melayu telah berakhir selain Malaysia bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan dan perkara tersebut turut menjadi agenda yang akan diperjuangkan PPBM.

Video Ahli Parlimen Muar itu turut menjadi tular di media sosial semalam dan menjadi perbincangan orang ramai.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perjuangan parti itu adalah untuk terus mengangkat darjat dan martabat rakyat Malaysia agar masyarakat di negara ini terus menjadi bangsa yang maju dan dihormati.

“Sebab itu kalau ada dalam kumpulan masyarakat di Malaysia tidak kira apa kaum sekali pun seperti miskin, papa kedana kita bantu, jangan cakap saja ketuanan itu ketuanan ini tapi tidak ada langkah berkesan dan tiada apa dikotakan.

“Kita ingin mencari satu pendekatan lebih sesuai, naratif lebih baik dan boleh diterima semua masyarakat kerana masih banyak perkara belum diselesaikan dan harus dilakukan. Dalam kita memperjuangkan hak orang Melayu, kita turut ingin berkongsi kekayaan secara bersama,” katanya.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin yang juga Adun Gambir menasihatkan kesemua ahli parti menjaga tingkah laku dan tutur kata berikutan cabaran masa kini menyaksikan segala perkataan dan perbuatan dilakukan mudah tular di laman sosial sekali gus boleh mencemarkan nama baik parti. – Bernama

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih 🙂

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Go go Tular

Sumber

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*