“Kerajaan tidak perlu minta maaf”- Ini luahan hati TPM Datuk Seri Dr Wan Azizah, Menjelang 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan

KERAJAAN tidak perlu memohon maaf kepada rakyat walaupun gagal menunaikan 10 janji dalam 100 hari yang menjadi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan berusaha memastikan segala janji terlaksana.

Menurutnya, ada antaranya sudah ditunaikan seperti meluluskan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Dewan Rakyat, selain pemberian insentif kepada suri rumah menerusi Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri).

Katanya, pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu memohon maaf kepada rakyat kerana ia tidak seperti yang diharapkan, namun sudah mencuba.

“Sekurang-kurangnya di kementerian, saya sudah buat i-Suri dan berjaya mempromosi serta menjalankan program itu.

“Bukan mudah melaksanakan semua kerana kita tidak ada cukup maklumat (ketika menjadi pembangkang) untuk menyelesaikan masalah.

Image result for Kerajaan tidak perlu minta maaf
Gambar: FMT

“Saya bukan memberi alasan mengapa kami tidak mencapai sasaran tapi kami cuba dengan sedaya-upaya,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya mengenai pencapaian PH mentadbir kerajaan yang bakal mencecah 100 hari pada Sabtu ini, selain sama ada mereka perlu meminta maaf kerana gagal menunaikan 10 janji dalam tempoh terbabit.

Antara 10 janji manifesto PH dalam tempoh 100 hari memerintah adalah menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup rakyat, menstabilkan harga petrol, menghapuskan hutang peneroka FELDA dan memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

Turut disenaraikan, menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan meningkatkannya, selain menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sumber: Harian Metro

 

PAS beri Gred D pada kerajaan PH

Image result for tuan ibrahim tuan man

PAS hanya memberi gred D kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) susulan kegagalan mereka menunaikan 10 janji dalam tempoh 100 hari mentadbir negara.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PH hanya layak diberi markah antara 27 sehingga 30 peratus sahaja berdasarkan pencapaian mereka menjadi kerajaan dalam tempoh itu.

Katanya, PH hanya mampu melaksanakan kira-kira 30 peratus daripada janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan rakyat mulai meragui komitmen kerajaan melaksanakan janji berkenaan.

“PH gagal menunaikan janji 100 hari yang mereka sendiri tabur, bukan rakyat buat janji itu.

“Bila mereka gagal, bermakna jawatankuasa penggubal manifesto PH gagal membuat kajian teliti sebelum dikemukakan kepada rakyat, termasuk soal hutang sebab perkara ini bukan sulit.

“PAS letak (markah) dalam 27 hingga 30 peratus. PH hanya berjaya dapat gred D. Kena ‘repeat balik paper’ (ulang semula peperiksaan),” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas pencapaian PH yang genap mentadbir negara selama 100 hari pada Sabtu ini, selain kegagalan kerajaan menunaikan 10 janji dalam tempoh yang menjadi manifesto pada PRU-14.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan kegagalan PH memberi tumpuan kepada 10 janji itu, sebaliknya mahu melaksanakan perkara yang tidak menjadi keutamaan buat rakyat ketika ini.

“Kerajaan nak buat benda yang di luar (manifesto), seperti wujudkan kereta nasional ketiga, perlumbaan Formula 1 (F1) akan dihidupkan kembali, yang bukan keutamaan bagi rakyat ketika ini,” katanya.

Ditanya sama ada PH mampu kekal sebagai kerajaan selepas lima tahun, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, ia bergantung sama ada mereka mampu memberi nilai tambah serta melaksanakan apa yang dimahukan rakyat.

Sumber: Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*