“Kenapa Orang Sebelah Ni..” Seram Betul Sejak Aku Masuk Panggung Ni Kau Asyik Pandang Aku Je

“Kenapa orang sebelah ni?”. Tak selesa aku dibuatnya. Sejak aku masuk balik ke dalam panggung, orang di sebelah kiri aku ni asyik pandang ke arah aku. Seram pula jadinya. Aku jeling ke kiri, dia masih pandang pada aku. Creepy gila.

Seusai ke tandas tadi, aku malas nak duduk balik di kerusi aku, sebab kerusi aku tu berada di tengah-tengah baris. Filem pula tengah tayang babak aksi. Kalau nak duduk semula di situ, aku kena minta laluan beberapa orang penonton. Mahu kena mki kalau aku kacau dia orang masa ni.

Jadi, aku duduklah di kerusi yang kosong di barisan belakang ni. Ada 3 kerusi kosong, aku ambil kerusi yang berada di sebelah lorong dan sambung menonton. Aku tak ingat masa tu aku tonton filem apa, tapi filem tu filem seramlah.

Sampai satu babak tu, suasana jadi suram dan sunyi. Tiba-tiba aku rasa tak sedap hati, tapi bukan kerana babak tu, tetapi kerana di saat tu aku rasa macam aku diperhatikan. Mata aku melilau pandang sekeliling panggung tu.

Dalam suram panggung tu, nampak semua orang tengah tekun menonton. Di barisan depan ni, ada seorang perempuan yang sorok bahu lelaki di sebelah dia, selain tu semua orang nampak biasa je. Aku toleh kanan. Aku toleh kiri.

Terus meremang bulu roma aku bila aku toleh kiri tu. Di sebelah kiri aku ada 2 kerusi kosong, dan di kerusi ke tiga dari tempat duduk aku, ada seorang perempuan muda, dan dia tengah pandang pada aku. Seram gila kot, dalam panggung wayang, semua orang tengah tonton filem di skrin, tiba-tiba ada orang tengah pandang kau. Dah la muka dia pucat.

Cepat-cepat aku kalihkan pandangan aku ke skrin. 2-3 saat lepas tu aku jeling semula ke kiri. Perempuan tu masih pandang aku. Weh, kenapa dengan minah ni? Aku kalih semula pandangan aku ke skrin, namun aku masih rasa perempuan tu tengah perhatikan aku. Serba tak kena aku dibuatnya.

Aku cuba fokus untuk sambung menonton filem tu, tapi memang tak boleh buang rasa diperhatikan tu. Kuat pula desakan hati nak menoleh ke arah perempuan tadi. Bayangkan kau rasa gatal di hidung, dan kau tak boleh tahan diri rasa nak garu. Begitulah rasanya menahan diri daripada menoleh.

Akhirnya aku toleh juga sebab rasa macam dengar orang bisik sesuatu di telinga kiri aku. Menyesal aku toleh. Tahu apa jadi?. Perempuan tu dah berganjak satu tempat duduk mendekati aku. Maknanya, sekarang dia duduk selang satu kerusi dari kerusi aku, dan dia masih pandang aku. Kebas muka aku jadinya.

Muka dia polos, macam tak ada perasaan. Macam patung pun ada. Mulut dia pula ternganga sikit. Anak mata dia bergetar sedikit ke kiri dan ke kanan. Terus aku kalih pandangan ke arah lain dan bangkit bangun dari kerusi.

Setelah berdiri, aku pandang semula ke perempuan tu. Masih lagi dia pandang aku. Weh! Apa hal dengan perempuan ni weh! Ah, pergi mampislah! Baik aku berambus dari panggung wayang ni. Kalau aku duduk dalam ni pun, bukan boleh tonton filem pun. Cuak gila kot!

Aku beredar dari panggung wayang tu. Macam-macam persoalan berlegar-legar dalam fikiran aku. Masa aku bayar tiket parkir di mesin autopay, aku toleh-toleh juga kiri kanan, manalah tahu tiba-tiba ada orang datang beritahu ini cuma “prank” je ke apa. Malangnya, aku dah sampai ke parkir, tak ada sesiapa muncul pun.

Tiba sahaja di kereta aku, aku terus unlock kereta dan masuk ke dalam kereta. Masak aku tunduk nak masukkan kunci dalam slot kunci, aku sekali lagi terasa aku di perhatikan. Rasa macam ada orang duduk di tempat duduk sebelah aku dan memerhati aku. Aku angkat kepala dan toleh ke kiri.

Tak ada sesiapa. Aku padang luar. Tak ada sesiapa juga. Aku padang depan. Kanan. Belakang. Tak ada sesiapa. Cuma kelihatan kereta-kereta yang aku rasa milik penonton wayang yang masih lagi dalam pawagam. Jantung aku berdegup laju. Laju sampai rasa degupan tu tersekat beberapa kali. Macam orang berlari laju tak tentu arah sampai kaki tersadung-sadung. Macam tu lah jantung aku.

Aku masukkan kunci, pulas, dan apabila enjin hidup sahaja, aku terus beredar dari situ. Berdecit-decit bunyi tayar bergeser dengan lantai tempat parkir tu. Kumat-kamit aku baca ayat suci. Nasib baik bawa kereta automatik, kalau kereta manual, aku rasa tersengguk-sengguk kereta sebab aku gelabah sangat.

Sampai di palang tol tiket parkir, aku pun hentikan kereta dan buka tingkap. Masa aku nak keluarkan tangan dari tingkap untuk masukkan tiket ke dalam slot di mesin, aku sekali lagi rasa macam ada orang perhati. Aku pandang sekeliling. Tak ada sesiapa.

Oleh kerana aku gelabah, aku berhenti kereta sedikit jauh dari mesin untuk masukkan tiket tu, jadi aku terpaksa julur tangan panjang sikit. Julur punya julur. Tak sampai juga. Maka aku terpaksa buka pintu, keluarkan kaki, pijak lantai, berdiri sikit dan julur tangan untuk masukkan tiket.

Zup! Tiket aku disedut oleh mesin tu.

Lepas tu aku duduk semula, masukkan kaki. Lepas tu jantung aku nak meletup! Masa aku nak tutup semula pintu, aku ternampak muka perempuan yang dalam pawagam tadi ada celah pintu aku. Seolah-olah dia ada bawah kereta aku, dan kepala dia mengintai keluar dari bawah kereta.

Sambil aku tutup pintu kereta, aku jerit macam orang gila. Sebaik sahaja palang dibuka, aku tekan pedal minyak sampai habis. Kereta aku melantun sedikit. Tak pasti sama ada aku langgar bonggol di palang keluar tempat parkir tu atau aku langgar ‘perempuan’ yang berada bawah kereta aku tu. Ah, lantaklah apa yang aku langgar, aku terus pecut balik rumah.

Sampai rumah, lepas mtikan enjin, terfikir pula sesuatu yang buat aku serba salah nak keluar kereta ke tidak. Kalau aku buka pintu ni, sekali benda tu masih ada menjenguk dari bawah kereta aku macam tadi, macam mana? Tapi takkan aku nak tidur dalam kereta ni? Kalau aku keluar kereta, dia tarik kaki aku macam mana?

Seriau gila!. Selepas berdolak-dalik dengan diri sendiri entah berapa lama, akhirnya aku berjaya kumpulkan keberanian nak keluar daripada kereta. Aku buka pintu, tak tengok bawah, lompat keluar, hempas pintu, terus lari ke pintu rumah. Macam nak orang parkinson tangan aku masa nak buka pintu rumah guna kunci.

Tak toleh kiri kanan depan belakang dah aku masa tu. Berjaya je buka, terus masuk, tutup pintu dan kunci. Lepas tu berlari naik ke bilik. Masa aku naik ke tangga, aku terbayang macam ada orang jengah dari bawah memandang ke atas. Meremang bulu roma aku, tapi bila aku pandang ke bawah, tak ada apa-apa pula.

Harap benda tu tak ikut aku masuk rumah lah. Malam tu aku tak boleh tidur. Golek-golek atas katil. Baring mengiring ke kanan, terbayang perempuan tu baring di belah kiri. Baring mengiring ke kiri, terbayang perempuan tu baring di belah kiri. Kalau tidur meniarap pun, muka kena ke kiri atau ke kanan. Paling boleh pun tidur terlentang, itu pun masih terbayang-bayang.

Teringat-ingat anak mata dia yang bergetar kiri dan ke kanan tu. Oleh sebab tak boleh tidur, aku pun baca-baca sikit di internet pasal pengalaman paranormal yang orang lalui berkenaan dengan pawagam. Ada sesuatu menarik yang aku jumpa. Mungkin ada orang lain dah tahu, tapi aku baru tahu.

Kau orang cuba buka laman web mana-mana panggung wayang yang boleh beli tiket atas talian. Cuba tempah tiket apa-apa filem yang paling jauh dari tarikh hari ni, hari bekerja, dan tayangan paling awal. Biasanya masa-masa macam ni tak ada orang tengok wayang, tapi cuba lihat di kerusi di barisan belakang. Ada yang sudah tak boleh dipilih. Dalam 4-5 kerusi.

Ada kan?. Kebanyakan panggung wayang, akan ada kerusi-kerusi yang tak boleh dipilih ni. Ada orang kata ini adalah kerusi khas untuk penonton dari alam lain. Kerusi ni diberi khas pada mereka agar mereka tak ganggu penonton lain. Sejujurnya aku rasa teori ni sangat karut.

Habis tu kenapa ada kerusi-kerusi khas tu?. Hakikatnya kerusi-kerusi ini adalah tempat duduk simpanan. Jika ada mana-mana kerusi yang telah ditempah oleh penonton, tetapi didapati rosak atau kotor semasa tayangan, maka penonton itu akan diberikan tempat duduk di kerusi simpanan itu tadi. Ini adalah penerangan yang lebih logik.

Namun begitu, jaranglah ada kerusi rosak kerana penyelenggaraan panggung dibuat berkala. Jika ada yang rosak pun, penonton biasanya akan ambil kerusi yang bukan di tempat kerusi simpanan tu, kerana kerusi simpanan itu lazimnya berada di barisan paling belakang, paling jauh dari skrin.

Maka, kerusi-kerusi simpanan ini lazimnya tak pernah diduduki oleh sesiapa, dan seperti mana-mana tempat yang tidak digunakan oleh manusia ia mungkin akan ada penunggunya.

Mungkin aku diganggu sebab aku duduk di tempat tu agaknya. Jadi aku nasihatkan kau orang, jika pergi ke pawagam untuk menonton wayang, elakkan duduk di kerusi selain yang kau orang tempah atau bayar.

Kita tak tahu kerusi kosong tu ada pemilik atau tak. Nampak kosong, tapi tak semestinya ‘kosong’.

Kredit Karya : Kamarul Ariffin Nor Sadan (facebook.com/chaku). Follow jika suka baca kisah seram! Follow Dr Yazeed Hair Johari pun bagus juga.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih 🙂

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Go go Tular

Sumber: Tribune Malaya

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*