Jang belum mengalah!

NEGERI Sembilan (NS) enggan terlalu awal mengangkat bendera putih biarpun masih kekal di tangga tercorot Liga Super selepas tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Selepas mengharungi 11 perlawanan liga, pendatang baru liga elit domestik itu pada musim ini hanya mampu mengumpul lima mata namun pengendali, Mario Lomes tampak optimis betapa pasukan itu mampu keluar daripada zon penyingkiran dan akan kekal bersaing di Liga Super.

Katanya, walaupun tumpas kepada JDT, apa yang dipamerkan kesebelasan utama pada aksi itu tetap membanggakan apabila berjaya mengekang gerakan berbahaya skuad kendalian Raul Longhi yang tampak rakus menyerang di setiap sudut kiri dan kanan.

“Itu yang kami rancangkan apabila berdepan JDT dengan menidakkan gerakan di posisi tengah dan menutup pemain lawan bergerak di posisi sayap kiri dan kanan namun hanya sedikit kesilapan kami dihukum dan JDT meraih tiga mata di laman mereka sendiri.

“Perancangan kami juga ingin melakukan serangan balas pantas, tetapi kami tiada kualiti itu sebaliknya JDT yang lebih agresif menyerang dan menguasai perlawanan dan kami tampak terlalu terikut-ikut dengan corak permainan mereka.

“Apa pun, selepas menyaksikan pemain saya beraksi jelas menunjukkan mereka ada kualiti dan tugas saya untuk membentuk barisan yang mantap tatkala aksi mencari kemenangan apabila berdepan Kelantan di tempat sendiri, nanti,” katanya.

Lemos berkata, persiapan yang rapi akan dibuat memandangkan kemenangan amat ditagih apabila berdepan skuad kendalian Fajr Ebrahim yang turut berada di kelompok bawahan liga dan pemburuan tiga mata amat penting untuk berusaha mengelak daripada kekal di dasar liga.

Tambahnya, bukan sasaran untuk buru enam perlawanan dengan meraih kemenangan, sebaliknya ingin menumpukan satu demi satu perlawanan bagi mengelak pemain tertekan dan kemenangan ke atas skuad The Red Warriors (TRW) menjadi agenda agenda utama.

Bagaimanapun, beliau tampak agak kecewa tatkala masih belum mendapat kelulusan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi memboleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mendaftarnya selaku jurulatih dan berada di tepi padang bersama pemain dalam aksi liga.

“Memang sedih apabila saya terpaksa berada sejauh 50 meter daripada pasukan dan tidak dapat beri arahan kepada pemain. Agak pelik kerana lesen kejurulatihan saya adalah dari Australia dan kenapa perlu tunggu untuk mendapat kelulusan.

“Saya berharap ia dapat diselesaikan segera. Apa pun saya bangga dengan kejurulatihan NS terutama Asri (Ninggal) yang sentiasa berkomunikasi dengan saya ketika aksi menentang JDT dan saya percaya kami akan bangkit,” kata Lemos.

Ikuti kedudukan terkini carta Liga Super Malaysia setakat ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *