Hanya kerana dua ketul ayam goreng, seorang pelancong dari Malaysia didenda sebanyak RM 4,060 di Taiwan

Hanya kerana dua ketul ayam goreng, seorang penumpang kapal terbang dari Malaysia telah didenda sebanyak NT$ 30,000 (kira-kira RM 4,060) pada 27 Disember yang lalu selepas gagal mengisytiharkan kewujudan ayam goreng berkenaan di dalam bagasi yang dibawanya. Insiden ini telah disahkan oleh Kastam Taipei.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Best Dressed Chicken/Twitter

Menurut Sinchew, penumpang berkenaan dilaporkan menaiki penerbangan JC International Airlines dan mendarat di Lapangan Terbang Taoyuan sekitar pukul 3 petang. Malangnya, ketika di lapangan terbang berkenaan, penumpang itu telah menggunakan lorong 6, yang ditetapkan untuk para penumpang yang tidak mempunyai apa-apa untuk diisytiharkan.

Kemudian, beg penumpang berkenaan telah diperiksa oleh pegawai kastam dan dua ketul ayam goreng dengan berat 160 gram telah dijumpai. Ayam goreng itu dilaporkan dibalut dengan tisu ketika ditemui.

Jurucakap jabatan itu menegaskan bahawa ayam goreng dikelaskan sebagai produk daging dan oleh itu dilarang keras untuk dibawa ke Taiwan. Selain itu, buah-buahan dan sayuran segar juga tersenarai dalam senarai larangan ini.

Kredit: Central News Agency

Dasar ini dikuatkuasakan untuk mencegah perosak atau penyakit daripada masuk ke Taiwan. Pelancong digesa membuangnya ke dalam tong kuarantin jika didapati membawa produk-produk yang berkenaan. Difahamkan bahawa pemeriksaan kastam yang dilakukan semakin ketat berikutan wabak selesema babi yang tersebar di China.

Memandangkan banyak pelancong telah didenda baru-baru ini, pihak berkuasa Taiwan ingin mengingatkan para penumpang untuk meninggalkan makanan lebihan dari dalam penerbangan dan tidak membawanya masuk ke negara mereka.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: United Airlines

Malah, pengumuman juga dibuat untuk mengingatkan pelancong dan mereka yang mempunyai pertanyaan untuk terus menuju ke kaunter nombor tujuh untuk mendapatkan bantuan dan mengelakkan daripada didenda.

Untuk makluman, makanan ringan, produk daging yang dibungkus vakum, dan biskut adalah antara beberapa produk yang telah menyebabkan para penumpang didenda.

Sumber: World of Buzz via era baru

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*