“Cikgu Rotan Anak Saya Sampai Berbirat!”

TULAR di media sosial perkongsian seorang bapa yang kesal dengan tindakan guru di sekolah anaknya yang didakwa bertindak mengikut emosi sehingga menyebabkan kaki mangsa cedera.

Khairil Sharwane yang memuat naik gambar-gambar kesan kecederaan di kaki anaknya menerusi laman sosial Facebook semalam berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anaknya.

“Diluah mati mak, ditelan mati bapak. Itulah pepatah Melayu telah berkata. Aku tak tahu bagaimana hendak memulakan cerita yang terjadi dalam diri ini. Hari ini 22 Mei 2018.

“Kira-kira jam 1.30 pm anak aku balik dari sekolah dan telah memberi tahu yang dia telah dirotan oleh guru disiplin membuatkan anak aku tidak larat hendak berpuasa.

Papa, Isaac tak puasa sebab kena rotan dengan cikgu dan cikgu cakap tolong beritahu papa yang cikgu rotan Isaac. Kalau tidak beritahu papa, nanti esok cikgu rotan lagi.

“Itulah perkataan pertama bila anak aku sampai di rumah. Aku anggap itu mungkin denda sebagai kenakalannya. Masa tu aku tidak perasan lagi apa yang telah terjadi.

“Tiba-tiba anak aku datang menunjukan bekas atau kawasan yang di rotan. Itu pon anak aku telah sapu sendiri dengan minyak gamat.

“Luluh hati ini berderai air mata apabila melihat betis anak aku hampir koyak dirotan oleh cikgu disiplin. Anak aku mungkin nakal tetapi umurnya baru tujuh tahun,” tulisnya.

Tindakan guru berkenaan yang nyata terlalu melampau membuatkan Khairil terus menghubungi pihak sekolah bagi mendapatkan kepastian mengenai tindakan guru berkenaan serta maklum balas.

“Sungguh kejam cikgu perlakukan sebegini. Jika saudara saudari yang mempunyai anak, adakah anda sanggup anak anda diperlakukan sebegini?

“Pihak sekolah tidak membantu atau memberi kerjasama. Apabila pihak kita telefon pelbagai alasan untuk mengelak. Anak aku baru tujuh tahun bukan 17 tahun,”tulisnya.

Ekoran kejadian itu juga, Khairil telah membuat laporan polis dan laporan perubatan juga telah diperoleh untuk tindakan lanjut.

Khairil menegaskan dia tidak berdendam apatah lagi bersikap kejam, tetapi geram dan kesal dengan guru disiplin berkenaan yang bertindak tidak menggunakan otak, sebaliknya mengikut nafsu amarah.

“Aku telah membuat laporan polis. Biarlah pihak polis yang menguruskan. Laporan perubatan juga telah diperoleh dari Hospital Ampang.

“Aku tidak berdendam, geram tetap geram. Tetapi aku pun ada perasaan. Aku tahu cikgu pun ada keluarga. Aku tidak kejam untuk memenjarakan cikgu.

“Cikgu bila buat kerja biar guna otak, jangan ikut nafsu. Cikgu, Sean Isaac Sharwane anak aku,” akhirinya.

Rata-rata netizen bersimpati dengan apa yang berlaku, malah mereka juga menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas guru terbabit.

Sumber: Mynewshub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *