Bonus raya RM500 untuk 12,000 penjawat awam Terengganu

Kerajaan Terengganu hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.3 juta pembayaran bonus kepada kira-kira 12,000 penjawat awam di negeri ini sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata pemberian bonus sebanyak RM500 itu akan diberi kepada semua penjawat awam termasuk yang berstatus tetap dan kontrak.

“Bagaimanapun, pembayaran bonus itu dijangka akan disalurkan selepas Hari Raya berikutan beberapa masalah berkaitan teknikal dan urusan pentadbiran.

“Pembayaran bonus ini diharap akan meringankan beban kewangan penjawat awam negeri di Terengganu dan menceriakan lagi sambutan Aidilfitri mereka,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di Kuala Terengganu hari ini.

Selain itu, Mohd Nor yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong berkata, kerajaan negeri turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai hasil tanah sehingga 31 Oktober ini.

“Kita banyak terima aduan daripada orang ramai bahawa mereka tidak sempat membayar cukai itu yang tarikh akhirnya pada 31 Mei lalu.

“Jadi, kita lanjutkan tempoh bayaran selama lima bulan lagi tanpa sebarang denda dan diharap rakyat berpeluang membayar cukai tanah dalam tempoh tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata agihan Dana Bakti Remaja juga akan dilanjutkan kepada 16,289 penerima yang masih belum menebus baucar tunai itu.

“Keseluruhannya, terdapat 117,284 penerima dana ini dan kebanyakan mereka sudah pun menebus wang dana tersebut sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, namun baki 16,289 penerima itu akan menerima wang mereka sebelum Aidilfitri ini.

“InsyaAllah ia akan disegerakan oleh ADUN dan Pejabat Daerah di kawasan masing-masing dalam tempoh terdekat agar boleh dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima,” katanya.

Bernama

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*