Agensi risikan M’sia ada lebih 1,000 anggota seluruh dunia

Agensi perisikan tempatan, Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) mempunyai lebih 1,000 anggota di seluruh dunia.

“Saya tidak diberikan kuasa untuk mengatakan berapa banyak ejen, pegawai dan operasi yang dikendalikan oleh agensi, tetapi saya boleh beritahu anda bahawa ada lebih 1,000 di seluruh dunia, dan adalah penting kebocoran seperti itu tidak sepatutnya berlaku,” kata Datuk Shaharudin Ali, peguam kepada mantan Ketua MEIO, Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Beliau berkata, Hasanah bimbang kepercayaan dan kredibiliti terhadap MEIO akan terjejas dengan pendedahan surat yang membabitkan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Sharudin menambah, Hasanah turut khuatir mengenai keselamatan dan semangat pegawai MEIO.

Hasanah dalam satu kenyataan bertulis memberitahu MEIO menggunakan nama rasmi Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri.

Bahagian itu merupakan sebahagian daripada agensi perisikan keselamatan negara dan ditubuhkan pada 1960-an.

Beliau turut memberitahu MEIO mempunyai sumber perisikan di seluruh dunia dan maklumat yang diperoleh itu dikumpulkan, dianalisis dan dilaporkan kepada Perdana Menteri dan Kabinet, Cawangan Khas, dan perisikan ketenteraan dan lain-lain.

“MEIO telah memberi banyak sumbangan kepada keselamatan negara. Ia termasuk menangani ancaman komunis, konfrontasi dengan Indonesia, konflik serantau dan yang terbaru adalah ancaman Daesh,” kata Hasanah dalam kenyataannya.

Sumber: MStar Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*