7 Fakta Menarik Tentang Final Piala Malaysia 2018 Terengganu vs Perak

Tahniah Perak atas kejayaan menjulang Piala Malaysia buat kali ke-8 dalam sejarah pasukan. Kejuaraan yang diraih selepas melalui onak duri sepanjang 120 minit beraksi di pentas akhir.

Perlawanan yang dramatik, 6 gol terhasil, Perak bangkit untuk membawa perlawanan ke masa tambahan, dua gol di masa tambahan dan akhirnya dinoktahkan dengan sepakan penalti.

Berikut adalah 7 perkara tentang pentas final Piala Malaysia 2018 antara Perak dan Terengganu FC, malam tadi.

 

1. Perlawanan ditunda?

Belum pun tirai pentas perlawanan akhir disingkap, telah timbul isu yang menarik perhatian ramai iaitu perlawanan bakal ditunda.

Sekitar jam dua petang, hujan lebat melanda Shah Alam dan ianya memang sudah dijangka. Ini telah mengakibatkan beberapa kawasan parking di stadium ditenggelami banjir.

Hujan lebat tersebut telah menimbulkan cakap-cakap ‘nakal’ di media sosial yang perlawanan akhir bakal ditunda keesokkan harinya, sesuatu yang sangat mustahil untuk terjadi.

Walaubagaimanapun, agenda perlawanan akhir tetap diteruskan tepat jam 9.00 malam dan kondisi padang di Stadium Shah Alam juga dilihat berada dalam keadaan yang baik.

 

2. Gol Kipre terpantas dalam saingan Piala Malaysia 2018

Hanya 46 saat diperlukan oleh penyerang sensasi yang juga kapten Terengganu FC, Kipre Tchetche untuk meledak gol pertama perlawanan dan membantu pasukannya mendahului aksi final.

Selepas 61 perlawanan Piala Malaysia berlangsung, seperti yang diumumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), gol Kipre ini telah diiktiraf sebagai jaringan terpantas untuk Piala Malaysia 2018.

Walaubagaimanapun, gol tersebut masih belum dapat mengatasi rekod gol terpantas dalam sejarah Piala Malaysia yang telah dijaringkan oleh pemain Sarawak, Pengiran Bala pada edisi 1989.

Ianya dijaringkan dalam masa 8 saat dan jika ini tidak diktiraf (tiada bukti video), Kipre juga masih tidak mampu mengatasi jaringan 16 saat milik penyerang Johor, Juan Muriel Orlando di edisi 2012.

 

3. Kipre pintas Guilherme de Paula untuk penjaring terbanyak

Gol kedua peledak berbisa Terengganu FC, Kipre pada minit ke-42 membolehkannya memintas penjaring terbanyak Piala Malaysia daripada Kuala Lumpur, Guilherme de Paula dengan 9 gol.

Walaupun Kuala Lumpur telah tersingkir awal ketika di saingan peringkat kumpulan, 8 gol yang telah dijaringkannya itu masih tidak ‘terusik’ sehinggalah ke pentas final.

Selain Kipre, dua pemain lain yang beraksi di final juga berpeluang memintasnya kerana turut berkongsi 7 jaringan, satu jaringan kurang daripada Guilherme iaitu Lee Tuck dan Gilmar.

 

4. Dua kad merah dilayangkan oleh pengadil

Pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia 2018, Suresh Jayaraman telah menimbulkan kontroversi ‘tak diundang’ apabila dikatakan sejak awal gagal mengawal perlawanan ini dengan baik.

Ini turut mengundang kritikan daripada pengerusi MFL, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Twitter.

Antara kontroversi yang telah dicipta oleh pengadil ini adalah apabila membatalkan jaringan penyamaan pemain Perak, Leandro pada minit ke-31 dan juga layangan dua kad merah.

Pemain yang telah ‘dihadiahkan’ kad merah oleh Jayaraman adalah pemain Perak, Gilmar dan pemain Terengganu FC, Lee Tuck, kedua-duanya adalah antara pencabar kasut emas Piala Malaysia.

 

5. Mimpi ngeri buat Igor Zonjic

Satu malam yang pasti akan mengundang mimpi ‘ngeri’ buat pertahanan Terengganu FC, Igor Zonjic apabila telah menjaringkan gol sendiri beberapa saat sebelum masa tambahan ditamatkan.

Dua kali The Bos Gaurus bangkit di penghujung perlawanan, pertama menerusi Brendan Gan yang meledak gol penyamaan di minit ke-90 dan kemudian jaringan sendiri Zonjic di minit ke-120.

Zonjic turut menambah luka di hatinya dan juga para penyokong Terengganu FC apabila kemudian gagal menyempurnakan penentuan sepakan penalti yang diambilnya.

 

6. Perlawanan dilanjutkan ke penentuan sepakan penalti

Perlawanan yang sangat dramatik apabila dilanjutkan sehingga ke penentuan sepakan penalti. 120 minit perlawanan berlangsung namun masih gagal memisahkan kedua-dua pasukan.

Dua kali Perak bangkit selepas ketinggalan akibat kesilapan sendiri di babak pertama. Kemudian mereka bangkit pula di masa tambahan selepas Faiz Nasir meledak gol ketiga Sang Penyu.

Kali terakhir perlawanan akhir dilanjutkan sehingga ke penentuan sepakan penalti adalah pada edisi 2016 dan ini merupakan kali ke-7 perlawanan akhir diakhiri dengan sepakan penalti.

Selain itu, malam ini merupakan perlawanan akhir yang melibatkan jaringan besar iaitu 6 gol dijaringkan oleh kedua-dua pasukan.

 

7. Hafizul Hakim berjaya ubati kesilapan

Penjaga gol Perak dan skuad kebangsaan, Hafizul Hakim berjaya mengubati kesilapannya selepas dia dengan mudah melepaskan gol kedua buat Terengganu FC pada minit ke-42.

Dia terduduk dan hanya mampu menumbuk padang selepas menghadiahkan Kipre gol yang sangat mudah dan selepas tamat babak pertama, dia juga dilihat dipujuk beberapa rakan pemain.

Namun, dia bangkit membuktikan bahawa dia adalah watak penting pentas final malam ini dengan beberapa aksi menyelamat.

Melakukan dua aksi menyelamat dalam penentuan sepakan penalti membuktikan dia adalah penjaga gawang yang boleh diharapkan ketika pasukan memasuki ke fasa tersebut.

 

Penutup

Perak berjaya menafikan impian Terengganu FC untuk menjulang Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2001, menewaskan Perak 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Irfan Bakti dan anak-anak buahnya telah berjaya membuat Perak menanti sehingga ke penentuan sepakan penalti namun ternyata sumpahan piala tertua di Asia itu masih menghantuinya.

Inilah satu-satunya piala yang belum dimenangi Irfan Bakti sepanjang karier kejurulatihannya. Selain malam ini, Irfan bersama Terengganu juga pernah dikecewakan pada edisi 2011.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih 🙂

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Go go Tular

Sumber: semuanyabola

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*